URL        https://www.astroawani.com/berita-malaysia/12-anggota-pegawai-polis-disiasat-kes-rompakan-mata-wang-kripto
Via        raw HTTP retrieval (status 200)
Retrieved  2026-10-16T14:30:11Z
Title      12 anggota, pegawai polis disiasat kes rompakan mata wang kripto
Published  (not given)
Byline     Sinar Harian
Length     1653 chars, 11 paragraphs

[1] SHAH ALAM: Seramai 12 anggota dan pegawai polis disiasat kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China baru-baru ini.

[2] Difahamkan, mereka yang ditahan masing-masing seorang berpangkat asisten superintendan, inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.

[3] Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

[4] "Ya, saya sahkan kejadian serta penangkapan tersebut.

[5] "Siasatan masih dijalankan daripada pelbagai sudut dan kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

[6] Sebelum itu, media tempatan melaporkan sepasukan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial daerah menyerbu banglo dua tingkat di Country Heights, Kajang pada 5 Februari lalu selepas disyaki terdapat aktiviti penipuan dalam talian yang dikaitkan dengan sindiket di Kemboja.

[7] Bagaimanapun, dikatakan tiada bukti kegiatan jenayah ditemui di lokasi terbabit.

[8] Mangsa kemudian dikatakan diugut akan ditahan dan dikenakan tindakan imigresen kecuali membayar RM400,000 kepada polis terbabit.

[9] Selepas rundingan, anggota polis terbabit didakwa bersetuju menerima bayaran 50,000 USDT (mata wang kripto), yang dipindahkan ke alamat dompet kripto diberikan.

[10] Penahanan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang juru ukur pasaran warga China berusia 31 tahun yang mendakwa dia dan tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto terbabit.

[11] Tangkapan kesemua 12 anggota itu dilakukan selepas beberapa hari laporan dibuat. - Sinar Harian
