URL https://www.astroawani.com/berita-malaysia/12-anggota-pegawai-polis-disiasat-kes-rompakan-mata-wang-kripto Via raw HTTP retrieval (status 200) Retrieved 2026-10-16T14:30:11Z Title 12 anggota, pegawai polis disiasat kes rompakan mata wang kripto Published (not given) Byline Sinar Harian Length 1653 chars, 11 paragraphs [1] SHAH ALAM: Seramai 12 anggota dan pegawai polis disiasat kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China baru-baru ini. [2] Difahamkan, mereka yang ditahan masing-masing seorang berpangkat asisten superintendan, inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun. [3] Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar. [4] "Ya, saya sahkan kejadian serta penangkapan tersebut. [5] "Siasatan masih dijalankan daripada pelbagai sudut dan kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis. [6] Sebelum itu, media tempatan melaporkan sepasukan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial daerah menyerbu banglo dua tingkat di Country Heights, Kajang pada 5 Februari lalu selepas disyaki terdapat aktiviti penipuan dalam talian yang dikaitkan dengan sindiket di Kemboja. [7] Bagaimanapun, dikatakan tiada bukti kegiatan jenayah ditemui di lokasi terbabit. [8] Mangsa kemudian dikatakan diugut akan ditahan dan dikenakan tindakan imigresen kecuali membayar RM400,000 kepada polis terbabit. [9] Selepas rundingan, anggota polis terbabit didakwa bersetuju menerima bayaran 50,000 USDT (mata wang kripto), yang dipindahkan ke alamat dompet kripto diberikan. [10] Penahanan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang juru ukur pasaran warga China berusia 31 tahun yang mendakwa dia dan tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto terbabit. [11] Tangkapan kesemua 12 anggota itu dilakukan selepas beberapa hari laporan dibuat. - Sinar Harian